Thursday, July 23, 2009

Benci hukum Allah rosak akidah

SETIAP Muslim perlu berwaspada dengan segala tindakan, sikap dan pemikiran, supaya tidak bertentangan dengan prinsip agama.

Pengerusi Gabungan Pendakwah Islam Selangor (GPIS), Mohd Zain Abdul Rahman, berkata Muslim yang membenci hukum Allah akan rosak akidahnya.


Begitu juga jika membenci atau memandang serong terhadap saudara Islam yang memakai serban, mereka turut batal syahadahnya.

"Saya hairan ada segelintir orang Islam tak suka mendengar azan konon mengganggu mereka tidur.

"Ini berdosa besar kerana mempermainkan hukum Tuhan," katanya ketika berceramah di Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Mohd Zain berkata, masyarakat Islam juga harus berwaspada terhadap media seperti televisyen yang memberikan pengaruh kuat dalam kehidupan seharian.

"Terdapat sesetengah program merosakkan akhlak generasi muda kita.

"Begitu juga dengan pengaruh internet, perlu digunakan untuk kebaikan dan mengerat tali persaudaraan," katanya.

Menurutnya, sesetengah pihak lebih cenderung menggunakan televisyen bagi tujuan hiburan mengasyikkan semata-mata.

Beliau juga mengingatkan orang Islam mengelak diri daripada perbuatan fasik, iaitu mereka yang ingkar atau memandang rendah perintah dan tegahan Allah.

"Orang fasik percaya kepada ajaran Islam, tapi tidak mengamalkannya atau mentakwil hukum Allah mengikut kefahaman sempit atau selera sendiri.

"Orang fasik boleh membawa kepada kufur jika membabitkan soal akidah, seperti mengutamakan pandangan manusia atau meneliti sesuatu secara empirikal semata-mata, sedangkan ia bertentangan hukum Allah.

"Muslim sejati mesti menimbang sesuatu pokok persoalan itu berdasarkan pertimbangan hukum aqli dan naqli secara seimbang," katanya.


aku petik dari keratan metro 23.07.2009

1 comment:

Mujahadah Al-Knight said...

Ini memang benar. Mana boleh sengaja ambil sebahagian agama dan membuang yang lain? Sesungguhnya Islam itu syumul dan lengkap.